Remaja perlukan bekalan akhirat(bahagian 1)
PERSOALAN mati memang fobia dan trauma kepada semua lapisan masyarakat, bangsa dan budaya. Kebimbangan seseorang tidak kira usia, sama ada yang menjangkau 60 tahun ke atas, atau yang masih dalam lingkungan usia belasan hingga 20-an. Mati pun tidak kenal usia atau bangsa, ia akan menemui seseorang itu sama ada dia bersedia atau pun tidak. Mati juga tidak boleh ditunda hingga ke suatu waktu yang tidak diketahui oleh sesiapa, kerana adalah satu hakikat yang akan menjelma pada bila-bila masa seperti yang ditegaskan dalam al-Quran menerusi ayat 78 surah an-Nisa yang bermaksud: "Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (apabila sampai ajal), sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh." Ada manusia yang mati kerana sakit tua, ini adalah lazim berlaku kepada mereka, ada pula yang mati kerana terlibat dalam kemalangan jalan raya. Tidak kurang yang mati kerana sedang berseronok-seronok di taman-taman bunga, di padang bola, stadium kerana menyaksikan konsert hiburan, di studio-studio, sedang menonton wayang, sedang bermesyuarat dan bermacam-macam lagi karenah manusia yang cenderung kepada dunia yang melalaikan. Sementara bagi golongan remaja pula, seolah-olah mati tidak ada dalam kamus hidup mereka. Sebab itu mereka lebih cenderung kepada program-program dunia yang menjurus kepada tidak mengingati Allah, hari akhirat, persediaan dalam alam kubur, persoalan Munkar dan Nakir dan sebagainya. Malah ada antara mereka dengan sikap ego menegaskan bahawa masa muda inilah perlu dihabiskan untuk bersuka ria (enjoy), nanti kalau sudah tua barulah bertaubat. Media kini sudah melampau Justeru, konsep taubat dalam konteks hari ini seolah-olah hanya tertumpu kepada golongan yang sudah berkaki tiga (bertongkat), yang bongkok, yang terlantar di hospital. Ini berlaku kerana tiada kesungguhan pihak berkuasa, lebih tepat golongan pemerintah atau penguasa tidak mengadakan penerangan padu lagi jitu mengenai kefahaman agama sekali gus membimbing remaja mencintai ajaran agama. Akhbar-akhbar arus perdana, program televisyen sama ada yang dimiliki kerajaan apatah lagi yang dimiliki swasta banyak memuatkan agenda hiburan, sukan melampau seolah-olah membayangkan mentaliti perancang agenda berkenaan cenderung kepada aspek-aspek yang telah disebutkan. Tetapi persoalan utama di sini, ialah bagaimana pula jika Allah SWT mematikan pada usia muda, apakah mereka sudah bersedia dengan bekalan amalan yang diperintahkan kepada mereka untuk dilaksanakan? Kita semua sedar bahawa persekitaran yang melingkungi diri kita pada hari ini bukanlah persekitaran Islam yang boleh dibanggakan, walau pun terdapat pihak tertentu menyifatkan kita sudah berada dalam sebuah negara yang mengamalkan Islam. Kalau itu yang didakwakan pihak tertentu, maka bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur bersih daripada kawasan pelacuran yang membimbangkan. Tetapi kita nak tanya mereka yang mendakwa demikian, Islam yang macam mana? Islam hakikikah? Islam Hadharikah? Islam Liberalkah? Islam Pluralismekah? Tapi yang kita tahu, Islam tidak dilaksanakan dalam negara Malaysia ini menurut hukum syarak, sama ada hudud, qisas ataupun takzir, yang ada semua bohong belaka. Kalau betul Islam dilaksanakan, kenapa mak menteri masih tidak bertudung, menutup aurat itukan perintah Allah, sesiapa yang melanggarnya berdosa besar. Undang-undang Islam juga tidak dilaksanakan dalam pentadbiran negara, macam-macam lagi dakwaan yang tidak berasas. Konsep hiburan yang mengelirukan Pokoknya di sini, jika pemerintah tidak minat untuk menyedia, merancang, program-program agama khusus buat remaja, maka tidak hairan gejala songsang yang menyalahi konsep agama Islam sebenar akan pudar dan musnah, ini sebagai permulaan ke arah untuk lebih tidak bersedia dengan bekalan, amalan untuk hari akhirat. Kalau benar pihak tertentu khususnya kerajaan mahu menyelamatkan golongan remaja, mereka sepatutnya membatalkan segera segala program berbentuk hiburan keterlaluan, jadi tidak ada lagi selepas ini JomHeboh yang melalaikan, Akademi Fantasia, One in the Million, konsert goyang gerudi Inul, Mentor dan macam-macam lagi. Sekarang timbul pula program realiti ‘Akademi Nasyid’. Banyak pihak keliru dengan konsep, pendekatan dan penampilan peserta yang bertanding, apa yang dapat umum simpulkan, nasyid akan membawa lagu-lagu berkonsepkan kesedaran, sama ada berpaksikan tauhid ketuhanan, peranan serta tugas para Anbiya?, berkorban untuk agama, mengajak umum untuk beribadat, bersatu-padu dan sebagainya. Tetapi ada yang tidak kena dengan program realiti berkenaan, penampilan peserta lelaki yang berambut panjang, amat tidak sinonim dengan persembahan nasyid seperti yang difahami umum. Peserta perempuannya pula ‘bertabarruj’ atau bersolek sama seperti artis pop wanita lain, persoalannya di sini, apakah kewujudan program itu adalah untuk mengimbangi ‘Akademi Fantasia’ yang sudah masuk musim keenam ‘jahanam’, atau ada perkara yang tersirat. Apapun ia masih terbuka untuk dikritik, kerana yang penting setiap program yang disediakan seumpama itu, matlamatnya adalah golongan remaja adalah sasaran tepatnya. Jika ia tidak menepati tuntutan dan ruang lingkup agama, ia mungkin akan jadi ‘back fire’ kepada penganjur dan institusi agama dalam negara di semua peringkat, malah tidak sedikit pun mengingatkan mereka dengan ‘mati’. Bersambung……Remaja perlukan bekalan akhirat
oleh:azfa saad
0 comments:
Post a Comment